Pendekatan Dalam Mengajar Membaca
1. Pendekatan Membaca Asas.
Pendekatan ini meliputi aktiviti mengajar membaca
yang menggunakan pelbagai kemahiran. Antaranya ialah tujuan rekreasi, mencari
maklumat dan bimbingan. Dalam pendekatan ini juga, ia turut menekankan tentang
kesinambungan pengulangan dan mengulang kaji perkara yang diajar sebelumnya. Dengan
makna lain ialah sentiasa membuat latihan terhadap sesuatu yang telah diajar.
Dalam pengajaran membaca juga, penambah bahan bacaan kepada perkara yang telah
diajar merupakan salah satu cara yang boleh membantu pelajar dalam menguasai
kemahiran membaca mereka.
Pendekatan ini mempunyai prinsip-prinsip yang tertentu. Antaranya ialah
pengajaran perkembangan kemahiran. Perkara ini merujuk kepada guru menekankan
aspek yang penting dalam pengajaran. Malah, dalam pendekatan membaca asas juga
turut meliputi membaca secara terarah. Perkara ini terbahagi kepada lima cara,
iaitu motivasi, persediaan latar belakang, menetapkan tujuan, membaca semula
secara senyap ataupun lisan secara terarah dan juga tindakan balas dan
perluasan.
Dalam
motivasi, ia berdasarkan latar pengalaman, kuiz, menyelesaikan masalah dan
sebagainya. Guru boleh melakukan kuiz di dalam kelas agar pelajar lebih memahami terhadap perkara yang diajar. Persediaan latar belakang pula
merujuk kepada perkataan yang sukar atau asing yang disebut oleh guru. Seterusnya
guru meminta pelajar menggunakannya dalam konteks perbualan ataupun dalam
karangan yang dibuat. Guru juga boleh meminta pelajar meneka makna perkataan
asing yang digunakan. Selain itu, guru
dan pelajar perlu menetapkan tujuan. Pelajar juga boleh membaca secara senyap
atau lisan secara terarah. Cara ini menunjukkan bagaimana guru membiarkan
pelajar membaca dengan senyap atau menghayati teks terlebih dahulu sebelum
menjawab sesuatu soalan. Pada masa ini, guru boleh membantu pelajar secara
individu dan secara tidak langsung dapat membantu pelajar yang lemah.
2. Pendekatan Teknologikal
Pendekatan ini menekankan keupayaan menghasilkan
pengajaran berurutan yang dapat dilakukan semula pada masa yang lain. Malah, ia
turut menekankan perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera serta diberikan
bukti kebenarannya. Pendekatan ini dilabelkan sebagai sistem membaca berdasarkan objektif iaitu :
a) Membaca berdasarkan perspektif diagnostik
b) Program berdasarkan kriteria
c) Membaca berdasarkan kecekapan
d) Sistem pengurusan kemahiran
Dalam pendekatan ini juga terdapat beberapa
aspek seperti berkenaan dengan objektif
tingkah laku. Pelajar perlu memahami dan mengenal pasti perkataan, objektif
terhadap sesuatu pemahaman serta kemahiran belajar. Seterusnya ialah ujian
kriteria bagi setiap objektif. Ia menentukan status dan kedudukan individu
dengan merujuk kepada domain tingkah laku. Contohnya seperti kemahiran membaca
atau beberapa kemahiran lain dalam kemahiran membaca. Pada masa yang sama, rangsangan yang diberikan
hendaklah sesuai dengan setiap objektif yang telah ditetapkan. Strategi
pengajaran juga perlu digunakan dalam pendekatan teknologikal ini. Strategi ini
merujuk kepada perkara yang wujud dalam bentuk bahan, program pelajaran atau
aktiviti pelajar yang memerlukan tindak balas. Di samping itu, strategi melalui
contoh dan penerangan membantu mereka mencapai objektif yang telah pun
ditetapkan. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah sistem pengajaran, ia hanya
menawarkan sumber khusus.
3. Pendekatan Pengalaman Bahasa.
Pendekatan ini merujuk kepada pelajar-pelajar yang
mempunyai perbezaan linguistik dan pendekatan ini mempunyai kelebihan yang
tertentu. Antaranya ialah guru dapat menilai penggunaan sintaksis dan struktur
ayat apabila mereka menggunakan bahasa lisan itu sendiri, dapat menggabungkan
penulisan dalam mengarang cerita daripada pengalaman individu atau kumpulan dan
dapat mengembangkan perbendaharaan kata dan sintaksis apabila pelajar menulis cerita
daripada bahan yang didengari.
Pendekatan ini melibatkan aktiviti hubungan antara pemikiran,
pertuturan, penulisan dan membaca. Guru merangsang pelajar mengenai sesuatu perkara
yang diajar. Pada masa yang sama, pelajar hendaklah melahirkan pemikirannya
secara lisan berdasarkan huraian situasi, analisis masalah serta beberapa
cadangan penyelesaian daripada perkara yang dilihat. Perkara ini menjelaskan
bahawa apa yang di fikir, diucapkan, dan dituliskan adalah bermakna. Hal ini
demikian kerana ia secara tidak langsung menunjukkan pemahaman pelajar terhadap
sesuatu perkara. Dalam pendekatan ini, ia juga menjelaskan terhadap bahan dan
kandungan yang perlu dilaksanakan oleh guru. Antaranya ialah tidak menggunakan
buku teks yang tertentu. Pendekatan ini merujuk kepada kaedah yang berfokus kepada
pengalaman. Perbendaharaan kata dan pola ayat juga dibina sendiri oleh pelajar.
Malah isi kandungan yang dilahirkan adalah merupakan refleksi daripada
pengalaman pelajar sendiri dan juga aktiviti yang diucapkan. Pendekatan ini
mempunyai kaedah pengajaran yang tertentu. Antaranya ialah :
a) Guru
perlu berfikir dan melahirkan rangsangan penulisan.
b)
Menulis pemikiran yang diucapkan.
c)
Membaca perkara yang ditulis.
d) Membuat
generalisasi berkenaan pola ejaan dan ayat yang ditulis.
e)
Menyatakan cara pemilihan dan penyusunan yang mempunyai kesan ke atas
makna sesuatu ayat.
Walau bagaimanapun, pendekatan ini
mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Antara kelebihannya ialah hubungan yang
rapat antara belajar membaca dan kepentingan pelajar sendiri, perhatian dan
bahasa yang digunakan. Seterusnya ia menghasilkan kesepaduan dalam semua kemahiran
berbahasa seperti berfikir, bertutur, mendengar, menulis dan membaca. Manakala kekurangannya pula ialah pendekatan ini
memerlukan guru mengakses pengalaman pelajar dan kemudian ia disalurkan
pengalaman itu bagi tujuan perkembangan bahasa. Malah, pendekatan ini juga akan
menyebabkan penggunaan perkembangan mental yang kompleks. Hal ini demikian
kerana perbualan atau aktiviti lisan yang dilakukan oleh pelajar akan
mengganggu proses membaca kanak-kanak.
4. Pendekatan Membaca Individu
Pendekatan ini lebih menekankan kepada aspek
pemeringkatan yang berbeza dalam pembacaan individu. Pendekatan ini juga
menekankan aspek memilih bahan bacaan yang mengaitkannya dengan keperluan,
minat dan juga keupayaan seseorang untuk membaca. Pada masa ini, guru perlu
membantu cara memilih buku dengan cara penyiringan serta menerangkan kesukaran
ketika membacanya. Biasanya guru akan memberi peluang kepada membaca secara
meluas serta bebas berdasarkan buku dan majalah pelbagai tajuk.
Tujuan pendekatan ini dilaksanakan dalam pendekatan membaca ialah memberi
kesan yang meluas dalam menarik minat membaca pelajar menjadikan aktiviti
membaca merupakan sesuatu yang bernilai dalam kehidupan. Melalui pendekatan ini juga akan membantu untuk
mengembangkan kecekapan kemahiran bahasa yang luas bermula dengan memilih kata
yang mudah kepada aplikasi kemahiran bahasa dengan kandungan yang lebih
kompleks. Pendekatan ini turut menambahkan keupayaan pelajar memahami dan
menilai bahan bacaan.
5. Pendekatan Membaca berasaskan Bahan
Kesusasteraan.
Pendekatan ini menekankan bahan-bahan kesusasteraan
yang mungkin dalam bentuk yang paling asas. Malah, melalui pendekatan ini juga
boleh membina kebolehan berbahasa, bahan sastera yang digunakan pada peringkat
awal membaca. Hal ini demikian kerana ia dapat mendorong pelajar untuk lebih
memahami dengan lebih meluas berkenaan dengan aspek bahasa yang terkandung dalam
struktur ayat. Membaca menggunakan bahas kesusasteraan juga akan memperlihatkan
keindahan bahasa yang wujud dalam bahan itu sehingga pelajar dapat mengetahui
dan memahami jalan cerita yang ingin disampaikan.
6. Pendekatan Pembacaan Lisan
Melalui pendekatan pembacaan lisan, ia boleh
dilakukan dengan menggunakan buku kerana ia mempunyai bahasa yang mengulangi
sesuatu bahan bacaan. Sebagai contoh, guru membaca teks yang terdapat dalam
buku kemudian diikuti oleh pelajar. Mereka juga boleh berbincang berkenaan
cerita yang disampaikan dan membacanya sekali lagi. Perkara ini dilakukan
secara berulang-ulang.
7. Pendekatan Pembacaan Asas
Semasa guru menggunakan pendekatan ini, pelajar
perlu memberi perhatian melalui beberapa aspek. Antaranya ialah :
a) Mengembangkan konsep latar belakang dan
perbendaharaan kata sebelum membaca.
b) Mahir mengemukakan soalan semasa membaca
senyap bagi mengenal pasti dan menghapuskan kekeliruan serta bagi meningkatkan pemahaman
pelajar.
c) Penegasan lebih khusus ke atas kemahiran
mendengar bahasa berbanding membaca lisan.
8. Pendekatan Mengajar Bacaan Peringkat Awal
a) Pendekatan Binaan (Sintektik)
I. Kaedah abjad
-
Dalam konteks ini dlihat guru melatih pelajar untuk menyebut
dan
menghafal abjad.
II. Kaedah suku kata
-
Memperkenalkan kepada pelajar dari aspek vokal dan
konsonan. Huruf konsonan + huruf vokal
menjadikan ia satu suku kata. Dalam
suku kata pula terdapat suku kata terbuka, dan
suku kata tertutup.
III. Kaedah fonik
– Berkenaan dengan bunyi huruf dan bukannya
nama huruf.
Kemudian
huruf akan digabungkan menjadi perkataan.
b)
Pendekatan Cerakinan (analitik)
I. Kaedah
perkataan
- Ia lebih menjurus kepada memperkenalkan
perkataan kepada pelajar dengan menggunakan kad perkataan. Dalam erti kata
lain, guru boleh menggunakan akronim bagi memudahkan pelajar untuk mengingat
perkataan-perkataan yang tertentu. Malah, pendekatan ini juga akan memudahkan
pelajar untuk mengingati makna perkataan tersebut.
II. Kaedah ayat dan cerita
– Lebih memberi penekanan kepada ayat sebagai
unit yang bermakna dalam bacaan.
9. Pendekatan Bacaan Asas Pusat Perkembangan
Kurikulum
1. Pendekatan
Gabungan Bunyi Kata
Pendekatan
ini menekankan aspek pendekatan asas berdasarkan faktor seperti sistem ejaan
bahasa Melayu bersifat fonemik, kebanyakan suku kata bahasa Melayu mudah dan
jelas serta perkataan yang mula diperkenalkan sudah difahami maknanya oleh
murid.
2. Pendekatan
abjad dan suku kata
Pendekatan
ini menekankan pengenalan abjad dan suku kata kepada murid. Ia boleh
dilaksanakan melalui :
a) Murid mengenali
huruf dan juga hubungannya dengan bunyi.
b) Huruf konsonan pula
digabungkan dengan huruf vokal menjadikan suku kata
c) Unit-unit kecil
vokal juga digabungkan.
d) Pelaksanaan latih
tubi sehingga pelajar boleh mengikuti kemahiran yang diajar.
No comments:
Post a Comment