.comment-form{ margin-right: auto; margin-left: auto; }

Kaedah membaca

Teknik Membaca

Seseorang pelajar lazimnya terpaksa banyak membaca. Dalam konteks sekolah bestari, pelajar digalakkan mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber. Mereka membaca untuk pelbagai tujuan. Ada masanya mereka perlu membaca secara meluas atau ekstensif. Ada masanya pula mereka perlu membaca secara intensif atau mendalam. Untuk menjadi seorang pembaca yang berkesan, pelajar perlu menguasai dan mengamalkan beberapa teknik membaca. Oleh itu guru perlu membimbing pelajar pelajar menguasai teknik-teknik tersebut dari peringkat sekolah rendah lagi.
Dalam konteks sekolah, pelajar membaca untuk tujuan-tujuan seperti yang berikut;
untuk mendapatkan maklumat atau fakta berkaitan dengan sesuatu tajuk atau perkara
untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang sesuatu tajuk atau perkara
untuk memahami sesuatu persoalan atau menjelaskan kefahaman tentang sesuatu konsep
untuk mengumpul pelbagai pendapat berkaitan dengan sesuatu persoalan
Secara umumnya seseorang perlu menguasai dua teknik membaca, iaitu;
membaca pantas
membaca kritis
Untuk membaca pantas seseorang boleh menggunakan teknik skimming dan scanning, manakala untuk membaca dengan kritis seseorang boleh menggunakan teknik seperti KWLH dan SQ3R.

Teknik Membaca KWLH
KWLH adalah singkatan bagi yang berikut;
K (know) Apa yang telah diketahui (sebelum membaca)

W (want) Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca)

L (learned) Apa yang telah diketahui (selepas membaca)

H (how) Bagaimana untuk mendapat maklumat tambahan - yang berkaitan (untuk membaca seterusnya)

Apa yang jelas dari penerangan tersebut ialah suatu teknik membaca kritis di mana pembaca;
mengingat dahulau apa yang telah diketahui
membayang atau menentukan apa yang ingin diketahui
melakukan pembacaan (bahan yang telah dipilih)
mengetahui apa yang telah diperoleh dari pembacaan yang baru dilakukan
menentukan apa lagi yang perlu diperoleh (sekiranya perlu membuat pembacaan seterusnya)
Teknik pembacaan akan membolehkan pelajar
mengaitkan pengetahuan yang sedia ada dengan apa yang dibaca
menentuka apa yang telah diperoleh dari pembacaannya, dan
menentukan apakh lagi bahan yang perlu dibaca sekiranya ingin mendapat maklumat tambahan
Dalam konteks pengajaran, pelajar dibiasakan menggunakan borang seperti yang di bawah sekiranya dikehendaki menggunakan teknik KWLH.
Know (K)
Apa yang sudah diketahui?
Want (W)
Apa yang hendak diketahui?
Learned (L)
Apa yang telah dipelajari/diperoleh?
How (H)
Apa lagi maklumat tambahan diperlukan?
       


Teknik Membaca SQ3R
SQ3R ialah teknik membaca kritis yang telah diperkenalkan oleh Robinson (1961). Ia merupakan satu kaedah membaca yang memerlukan seseorang mempersoal kesesuaian maklumat yang terdapat dalam suatu bahan yang dibaca dengan tugasan yang perlu diselesaikan.
SQ3R adalah singkatan bagi;
S (survey)     tinjau
Q (question) soal/tanya
R (read)       baca
R (recite)     imbas kembali atau nyatakan secara lisan
R (review)   baca semula

Survey (tinjau) ialah langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang apa yang terkandung di dalam bahan yang dibaca. Ini dilakukan dengan meneliti tajuk besar, tajuk-tajuk kecil, gambar-gambar atau ilustrasi, lakaran grafik, membaca perenggan pengenalan, dan perenggan terakhir di bahagian-bahagian buku atau  teks.

Di sini juga pelajar sebenarnya menggunakan teknik membaca pantas iaitu skimming dan scanning.
Question (soal atau tanya) ialah langkah yang memerlukan pelajar menyenaraikan satu siri soalan mengenai teks tersebut setelah mendapati teks tersebut berkaitan dengan keperluan tugasannya. Soalan-soalan tersebut menunjukkan keinginan pembaca tentang maklumat yang ingin diperoleh dari bahan tersebut, dan ianya menjadi garis panduan semasa membaca kelak. Pelajar akan cuba mencari jawapan kepada soalan-soalan tersebut.

Read (baca) ialah peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut secara aktif serta mencuba mendapat segala jawapan kepada soalan-soalan yang telah disenaraiakannya sebelum ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan menyenaraikan soalan-soalan tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman dan keinginannya sepanjang melakukan pembacaan. Pelajar mungkin juga mempersoal pendapat atau maklumat yang terdapat yang ditemuinya.

Recite (imbas kembali) ialah peringkat yang ketiga.Setelah selesai membaca, pelajar cuba mengingat kembali apa yang telah dibaca dan meneliti segala yang telah diperoleh. Pemilihan maklumat yang sesuai dilakukan dalam konteks tugasannya. Pelajar juga boleh cuba menjawab soalan-soalan yang disenaraikan sebelumnya tanpa merujuk kepada kepada nota atau bahan yang telah dibaca.

Review (baca semula) merupakan peringkat terakhir. Pelajar membaca bahagian-bahagian buku atau teks secara berpilih untuk mengesahkan jawapan-jawapan kepada soalan yang dibuatnya di langkah ketiga. Pelajar juga memastikan tiada fakta penting yang tertinggal.



Skimming dan Scanning



Teknik skimming dan scanning ini sesuai digunakan untuk pembacaan bahan yang ringkas seperti sesuatu petikan mahu pun bahan bacaan yang lebih panjang seperti buku, jurnal dan majalah. Dalam pembacaan sesuatu petikan, kita hanya memberi perhatian kepada idea penting setiap perengan untuk mendapat gambaram umum. Idea-idea khusus sengaja diabaikan. Dalam pembacaan sesebuah buku pula. fokus kita diberikan  kepada bahagian tertentu di dalam buku itu seperti pengenalan, prakata, isi kandungan, tajuk utama, rumusan pada akhir bab dan rujukan indeks untuk mendapat gambaran umum tentang perkara yang dibaca.

Scanning ialah pembacaan cepat untuk mendapat maklumat yang khusus dan bukan untuk mendapat gambaran keseluruhan sesuatu bahan bacaan. Pembacaan cara ini boleh melangkau bahagian-bahagian tertentu yang difikirkan kurang penting. Ketika kita membaca, kita akan menggerakkan mata kita dari atas ke bawah dengan pantas mengikut muka surat petikan yang dibaca sambil menberi tumpuan kepada maklumat yang dicari. Oleh yang demikian, pembacaan cara ini adakah lebih cepat daripada pembacaan cara skimming.

Dalam konteks pembelajaran, skimming dan scanning boleh digunakan bersama. Biasanya, kita boleh membaca cara skimming untuk menentukan kesesuaian sesuatu bahan bacaan . Jika bahan berkenaan itu didapati sesuai maka kita boleh menggunakan teknik scanning untuk mendapatkan maklumat khusus yang dicari.

Pemilihan Bahan Bacaan

Bahan bacaan merangkumi sebuah buku, petikan akhbar atau pun majalah, surat dan sebagainya. Sebagai pembaca, bahan bacaan dapat mempengaruhi keberkesanan pembacaan. Susah ataupun senangnya bahan bacaan itu berkait rapat dengan tahap pembacaan pembaca ketika membaca. Guru-guru sering menghadapi masalah dalam memilih bahan bacaan untuk pelajar. Bahan sama ada dalam bentuk cetakan atau audio visual, ia perlu disediakan untuk pelajar bagi melakukan tugasan yang ditetapkan oleh guru. Oleh itu, penyediaan bahan bacaan bukan hanya meliputi usaha menyediakan bahan sahaja tetapi ia merangkumi tugasan yang perlu dilaksanakan dalam aktiviti membaca tersebut. Kesesuaian bahan dengan minat, kebolehan dan kesediaan belajar mempengaruhi kejayaan pengajaran bacaan dalam kelas.

            Bahan bacaan juga merangkumi pelbagai bentuk, jenis dan gaya seperti bahan akademik, sastera, laporan dan berita. Kepelbagaian laras bahasa dapat mempengaruhi kefahaman pelajar kerana perbezaan yang wujud dari segi perbendaharaan kata, rangkai kata, ayat atau gaya bahasa. Apabila digandingkan dengan bahasa lisan, bahan bacaan berbeza terutamanya dari segi penggunaan kata, ayat dan penyampaian gaya bahasa. Bahan bagi bacaan perlu disediakan dengan menggunakan bahasa yang bersifat formal, dengan menitikberatkan penggunaan tatabahasa, struktur ayat yang lengkap, perbendaharaan kata terpilih yang sesuai dengan jangkaan pembaca serta mempunyai daya penarik supaya terus dibaca.

            Pemilihan bahan bacaan adalah penting kerana pembaca khususnya pelajar terdedah kepada maklumat yang positif mahupun negatif, kesahihan maklumat dan fakta serta kecenderungan, batasan dan halangan yang akan mungkin timbul dalam pemilihan bahan bacaan. Dengan tidak adanya persediaan dalam memilih bahan bacaan, ia akan menyebabkan berlakunya pembaziran wang, masa dan sebagainya.

           Setiap pelajar perlu mempunyai arah dan hala tuju dalam memilih sesuatu buku atau bahan bacaan. Contohnya, pelajar tahap rendah perlu diberi bimbingan dan nasihat oleh ibu bapa sebelum membelinya dan pelajar tahap menengah pula perlu mendapatkan garis panduan daripada guru-guru. Berdasarkan situasi semasa, pemilihan sesuatu bahan bacaan yang diamalkan oleh kebanyakan pelajar boleh dibahagikan kepada beberapa faktor iaitu:

        i.            Buku rujukan yang mempunyai perkaitan dengan mata pelajaran yang dipelajari


      ii.            Buku umum seperti cerita, sukan dan hiburan yang diminati berdasarkan kepada keperluan semasa.



    iii.            Buku yang diwajibkan oleh guru sekolah.






Pendekatan Dalam Mengajar Membaca

1. Pendekatan Membaca Asas.
Pendekatan ini meliputi aktiviti mengajar membaca yang menggunakan pelbagai kemahiran. Antaranya ialah tujuan rekreasi, mencari maklumat dan bimbingan. Dalam pendekatan ini juga, ia turut menekankan tentang kesinambungan pengulangan dan mengulang kaji perkara yang diajar sebelumnya. Dengan makna lain ialah sentiasa membuat latihan terhadap sesuatu yang telah diajar. Dalam pengajaran membaca juga, penambah bahan bacaan kepada perkara yang telah diajar merupakan salah satu cara yang boleh membantu pelajar dalam menguasai kemahiran membaca mereka.
     Pendekatan ini mempunyai prinsip-prinsip yang tertentu. Antaranya ialah pengajaran perkembangan kemahiran. Perkara ini merujuk kepada guru menekankan aspek yang penting dalam pengajaran. Malah, dalam pendekatan membaca asas juga turut meliputi membaca secara terarah. Perkara ini terbahagi kepada lima cara, iaitu motivasi, persediaan latar belakang, menetapkan tujuan, membaca semula secara senyap ataupun lisan secara terarah dan juga tindakan balas dan perluasan.
         Dalam motivasi, ia berdasarkan latar pengalaman, kuiz, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Guru boleh melakukan kuiz di dalam kelas agar pelajar  lebih memahami terhadap perkara  yang diajar. Persediaan latar belakang pula merujuk kepada perkataan yang sukar atau asing yang disebut oleh guru. Seterusnya guru meminta pelajar menggunakannya dalam konteks perbualan ataupun dalam karangan yang dibuat. Guru juga boleh meminta pelajar meneka makna perkataan asing yang digunakan.  Selain itu, guru dan pelajar perlu menetapkan tujuan. Pelajar juga boleh membaca secara senyap atau lisan secara terarah. Cara ini menunjukkan bagaimana guru membiarkan pelajar membaca dengan senyap atau menghayati teks terlebih dahulu sebelum menjawab sesuatu soalan. Pada masa ini, guru boleh membantu pelajar secara individu dan secara tidak langsung dapat membantu pelajar yang lemah.

2. Pendekatan Teknologikal
Pendekatan ini menekankan keupayaan menghasilkan pengajaran berurutan yang dapat dilakukan semula pada masa yang lain. Malah, ia turut menekankan perkara yang dapat dirasai oleh pancaindera serta diberikan bukti kebenarannya. Pendekatan ini dilabelkan sebagai  sistem membaca berdasarkan objektif iaitu :
a)      Membaca berdasarkan perspektif diagnostik
b)      Program berdasarkan kriteria
c)      Membaca berdasarkan kecekapan
d)     Sistem pengurusan kemahiran

            Dalam pendekatan ini juga terdapat beberapa aspek  seperti berkenaan dengan objektif tingkah laku. Pelajar perlu memahami dan mengenal pasti perkataan, objektif terhadap sesuatu pemahaman serta kemahiran belajar. Seterusnya ialah ujian kriteria bagi setiap objektif. Ia menentukan status dan kedudukan individu dengan merujuk kepada domain tingkah laku. Contohnya seperti kemahiran membaca atau beberapa kemahiran lain dalam kemahiran membaca. Pada  masa yang sama, rangsangan yang diberikan hendaklah sesuai dengan setiap objektif yang telah ditetapkan. Strategi pengajaran juga perlu digunakan dalam pendekatan teknologikal ini. Strategi ini merujuk kepada perkara yang wujud dalam bentuk bahan, program pelajaran atau aktiviti pelajar yang memerlukan tindak balas. Di samping itu, strategi melalui contoh dan penerangan membantu mereka mencapai objektif yang telah pun ditetapkan. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah sistem pengajaran, ia hanya menawarkan sumber khusus.

3. Pendekatan Pengalaman Bahasa.
Pendekatan ini merujuk kepada pelajar-pelajar yang mempunyai perbezaan linguistik dan pendekatan ini mempunyai kelebihan yang tertentu. Antaranya ialah guru dapat menilai penggunaan sintaksis dan struktur ayat apabila mereka menggunakan bahasa lisan itu sendiri, dapat menggabungkan penulisan dalam mengarang cerita daripada pengalaman individu atau kumpulan dan dapat mengembangkan perbendaharaan kata dan sintaksis apabila pelajar menulis cerita daripada bahan yang didengari.


         Pendekatan ini melibatkan aktiviti hubungan antara pemikiran, pertuturan, penulisan dan membaca. Guru merangsang pelajar mengenai sesuatu perkara yang diajar. Pada masa yang sama, pelajar hendaklah melahirkan pemikirannya secara lisan berdasarkan huraian situasi, analisis masalah serta beberapa cadangan penyelesaian daripada perkara yang dilihat. Perkara ini menjelaskan bahawa apa yang di fikir, diucapkan, dan dituliskan adalah bermakna. Hal ini demikian kerana ia secara tidak langsung menunjukkan pemahaman pelajar terhadap sesuatu perkara. Dalam pendekatan ini, ia juga menjelaskan terhadap bahan dan kandungan yang perlu dilaksanakan oleh guru. Antaranya ialah tidak menggunakan buku teks yang tertentu. Pendekatan ini merujuk kepada kaedah yang berfokus kepada pengalaman. Perbendaharaan kata dan pola ayat juga dibina sendiri oleh pelajar. Malah isi kandungan yang dilahirkan adalah merupakan refleksi daripada pengalaman pelajar sendiri dan juga aktiviti yang diucapkan. Pendekatan ini mempunyai kaedah pengajaran yang tertentu. Antaranya ialah :

a)      Guru perlu berfikir dan melahirkan rangsangan penulisan.
b)      Menulis pemikiran yang diucapkan.
c)      Membaca perkara yang ditulis.
d)     Membuat generalisasi berkenaan pola ejaan dan ayat yang ditulis.
e)      Menyatakan cara pemilihan dan penyusunan yang mempunyai kesan ke atas makna sesuatu ayat.
            Walau bagaimanapun, pendekatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Antara kelebihannya ialah hubungan yang rapat antara belajar membaca dan kepentingan pelajar sendiri, perhatian dan bahasa yang digunakan. Seterusnya ia  menghasilkan kesepaduan dalam semua kemahiran berbahasa seperti berfikir, bertutur, mendengar, menulis dan membaca. Manakala  kekurangannya pula ialah pendekatan ini memerlukan guru mengakses pengalaman pelajar dan kemudian ia disalurkan pengalaman itu bagi tujuan perkembangan bahasa. Malah, pendekatan ini juga akan menyebabkan penggunaan perkembangan mental yang kompleks. Hal ini demikian kerana perbualan atau aktiviti lisan yang dilakukan oleh pelajar akan mengganggu proses membaca kanak-kanak. 


4. Pendekatan Membaca Individu
Pendekatan ini lebih menekankan kepada aspek pemeringkatan yang berbeza dalam pembacaan individu. Pendekatan ini juga menekankan aspek memilih bahan bacaan yang mengaitkannya dengan keperluan, minat dan juga keupayaan seseorang untuk membaca. Pada masa ini, guru perlu membantu cara memilih buku dengan cara penyiringan serta menerangkan kesukaran ketika membacanya. Biasanya guru akan memberi peluang kepada membaca secara meluas serta bebas berdasarkan buku dan majalah pelbagai tajuk.
               Tujuan pendekatan ini dilaksanakan dalam pendekatan membaca ialah memberi kesan yang meluas dalam menarik minat membaca pelajar menjadikan aktiviti membaca merupakan sesuatu yang bernilai dalam kehidupan. Melalui  pendekatan ini juga akan membantu untuk mengembangkan kecekapan kemahiran bahasa yang luas bermula dengan memilih kata yang mudah kepada aplikasi kemahiran bahasa dengan kandungan yang lebih kompleks. Pendekatan ini turut menambahkan keupayaan pelajar memahami dan menilai bahan bacaan.

5. Pendekatan Membaca berasaskan Bahan Kesusasteraan.
Pendekatan ini menekankan bahan-bahan kesusasteraan yang mungkin dalam bentuk yang paling asas. Malah, melalui pendekatan ini juga boleh membina kebolehan berbahasa, bahan sastera yang digunakan pada peringkat awal membaca. Hal ini demikian kerana ia dapat mendorong pelajar untuk lebih memahami dengan lebih meluas berkenaan dengan aspek bahasa yang terkandung dalam struktur ayat. Membaca menggunakan bahas kesusasteraan juga akan memperlihatkan keindahan bahasa yang wujud dalam bahan itu sehingga pelajar dapat mengetahui dan memahami jalan cerita yang ingin disampaikan.

6. Pendekatan Pembacaan Lisan
Melalui pendekatan pembacaan lisan, ia boleh dilakukan dengan menggunakan buku kerana ia mempunyai bahasa yang mengulangi sesuatu bahan bacaan. Sebagai contoh, guru membaca teks yang terdapat dalam buku kemudian diikuti oleh pelajar. Mereka juga boleh berbincang berkenaan cerita yang disampaikan dan membacanya sekali lagi. Perkara ini dilakukan secara berulang-ulang.

7. Pendekatan Pembacaan Asas
Semasa guru menggunakan pendekatan ini, pelajar perlu memberi perhatian melalui beberapa aspek. Antaranya ialah :
a)      Mengembangkan konsep latar belakang dan perbendaharaan kata sebelum membaca.
b)      Mahir mengemukakan soalan semasa membaca senyap bagi mengenal pasti dan menghapuskan  kekeliruan serta bagi meningkatkan pemahaman pelajar.
c)      Penegasan lebih khusus ke atas kemahiran mendengar bahasa berbanding membaca lisan.

8. Pendekatan Mengajar Bacaan Peringkat Awal
a)      Pendekatan Binaan (Sintektik)
I.            Kaedah abjad
- Dalam konteks ini dlihat guru melatih pelajar untuk menyebut  
dan menghafal abjad.
                            II.            Kaedah suku kata
- Memperkenalkan kepada pelajar dari aspek vokal dan
 konsonan. Huruf konsonan + huruf vokal menjadikan ia satu suku kata. Dalam
 suku kata pula terdapat suku kata terbuka, dan suku kata tertutup.
                         III.            Kaedah fonik
 – Berkenaan dengan bunyi huruf dan bukannya nama huruf.
                                    Kemudian huruf akan digabungkan menjadi perkataan.

b)      Pendekatan Cerakinan (analitik)
                               I. Kaedah perkataan
    - Ia lebih menjurus kepada memperkenalkan perkataan kepada pelajar      dengan   menggunakan kad perkataan. Dalam erti kata lain, guru boleh menggunakan akronim bagi memudahkan pelajar untuk mengingat perkataan-perkataan yang tertentu. Malah, pendekatan ini juga akan memudahkan pelajar untuk mengingati makna perkataan tersebut.
                            II.  Kaedah ayat dan cerita
 – Lebih memberi penekanan kepada ayat sebagai unit yang bermakna dalam bacaan.
    Malah ia lebih menumpukan kepada bahan bacaan yang lebih berbentuk cerita.


9. Pendekatan Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum
1.      Pendekatan Gabungan Bunyi Kata
Pendekatan ini menekankan aspek pendekatan asas berdasarkan faktor seperti sistem ejaan bahasa Melayu bersifat fonemik, kebanyakan suku kata bahasa Melayu mudah dan jelas serta perkataan yang mula diperkenalkan sudah difahami maknanya oleh murid.


2.      Pendekatan abjad  dan suku kata
Pendekatan ini menekankan pengenalan abjad dan suku kata kepada murid. Ia boleh dilaksanakan melalui :
a) Murid mengenali huruf dan juga hubungannya dengan bunyi.
b) Huruf konsonan pula digabungkan dengan huruf vokal menjadikan suku kata
c) Unit-unit kecil vokal juga digabungkan.
d) Pelaksanaan latih tubi sehingga pelajar boleh mengikuti kemahiran yang diajar.
e) Pengukuhan juga dilakukan melalui penulisan.








TEORI MEMBACA

Banyak teori membaca  yang dikenal pasti dapat membantu pembaca membaca dengan berkesan. Antara teori tersebut adalah seperti berikut :


1. TEORI MEMINDAHKAN MAKLUMAT

  • Mengandaikan membaca sebagai satu proses mengenal peringkat huruf  demi huruf dan perkataan demi perkataan.
  • Pembaca memerlukan kemahiran yang khusus bagi membolehkan mereka melakukan proses pemindahan maklumat daripada apa yang dibaca
  • Aktiviti membaca yang dilakukan akan meningkatkan lagi kebolehan mereka dalam memindahkan maklumat daripada bahan bacaan.
  • Contoh pelaksanaannya ialah guru memberi petikan teks kepada pelajar serta turut disediakan beberapa soalan yang berkaitan bagi meningkatkan kemahiran membaca pelajar.


2.TEORI MEMBACA SECARA AUTOMATIK 

  • Teori yang dianjurkan oleh La Berge dan Samuel (1974)
  •  Beranggapan bahawa wujudnya perkembangan dalam penguasaan kemahiran membaca secara automatik
  •  Menganggap wujudnya perbezaan antara proses bersifat automatik dan proses kawalan ketika membaca.
  • Hubungan yang positif antara kemahiran pemahaman dalam membaca teks secara automatik dengan latihan yang dijalankan
  •  Pelajar yang mempunyai lebih kemahiran dalam membaca, secara automatiknya akan berupaya mengawal teks yang dibaca serta mereka mudah faham .
  • Ketika proses membaca berlaku, pembaca perlulah menekankan pengawalan eksekutif agar dapat membantu mereka faham dengan lebih baik. 
 

3.TEORI KECEKAPAN VERBAL

  • Teori ini diperkenalkan oleh Perfetti (1985) yang menekankan kemahiran membaca dari segi proses menafsirkan kod
  • Setiap pembaca berbeza dari segi penguasaan kecekapan verbalnya
  • Teori ini beranggapan bahawa  kapasiti pemerhatian iaitu merujuk kepada perhatian dan sumber ingatan terhad yang terdapat dalam diri pembaca.
  • Teori ini membincangkan sejauh mana sesuatu sub komponen membaca berhubung dengan pemahaman.Katagori pembaca yanb tidak cekap ialah mudah lupa dengan apa yang telah dibaca, serta kurang pengetahuan terhadap apa yang telah dibacanya